**BICARA QALBU**

~..Sesungguhnya Dengan Mengingati Allah.. Jiwa Akan Menjadi Tenang..~

Cinta..

Bismillah..

Fitrah Yang Menjadi Fitnah

Remaja dan cinta – dua perkara yang bagaikan sudah sebati. rasa cinta bertandang di dalam jiwanya tanpa diundang. Keinginan itu tidak payah dipelajari dan dicari. Lelaki inginkan cinta wanita dan begitulah sebaliknya. Walaupun kadangkala ia cuba dilawan, namun rasa “ajaib” itu datang jua. Apalagi kalau cinta itu disuburkan, maka makin marak dan menggilalah jadinya. Bila cinta mencengkam diri, makan tak kenyang, tidur tak lena dibuatnya.

Sedemikian indah dan damainya syurga, namun NabiAdam a.s. berasa kesunyian dan inginkan teman. Lalu Allah ciptakanSiti Hawa dari tulang rusuknya. Dan kita anak cucu pewaris rasa cinta itu akan sentiasa rasa terpisah dan gelisah selagi tidak bersama dengan yang dicintai.

Rasa Cinta Tak Salah

Lalu hati remaja selalu berkata, apakah salah kami bercinta? Ya, rasa cinta memang tak salah. Ia adalah fitrah semulajadi yang Allah kurniakan kepada setiap manusia. Ingin cinta dan dicintai. Jiwa manusia memerlukan cinta seperti jasadnya perlukan makanan. Oleh kerana cinta adalah fitrah, maka tentulah tidak salah merasainya.Namun Allah tidak kurniakan rasa cinta secara polos begitu sahaja.

Dia juga mencipta peraturan cinta demi menjaga kemurniannya. Peraturan inilah yang kerap dilanggar. Rasa cinta tidak salah tetapi kesalahan selalu berlaku sewaktu menjalinkan hubungan cinta. Di sinilah remaja selalu terjebak. Cinta terlarang adalah cinta yang menafikan peraturan Allah. Ketika itu fitrah telah menjadi fitnah.Bila kehendak semulajadi tidak disalurkan atau diisi mengikut peraturan maka akan berlakulah kekalutan dan kemusnahan.

Mengapakah perlu ada peraturan cinta? Jawabnya, kerana Allah mencintai manusia. Allah inginkan keselamatan dan kesejahteraan buat manusia melaksanakan keinginan fitrah semulajadinya. Keinginan tanpa peraturan akan menyebabkan banyak kemusnahan.

Begitulah hubungan cinta cinta yang terlarang, akan membawa banyak implikasi negatif dalam kehidupan. Pengalaman sudah pun mengajar kita, jangan sekali-kali bermain api cinta, nanti terbakar diri. Sudah banyak tragedi yang berlaku akibat hubungan cinta yang membelakangkan Allah.Cinta yang terlarang adalah cinta yang sudah dicemari oleh kehendak nafsu dan kepentingan diri. Keindahan cinta yang sudah tercemar ini tidak tahan lama. Sudah dapat yang dihajati, sudah terlaksana apa yang dikejar, cinta akan terkulai dan bersepai.

Hubungan cinta jangan dicemari oleh sebarang tindakan menyalahi syariat. Lebih banyak pelanggaran hukum berlaku, lebih tinggilah risiko kemusnahan yang akan berlaku. Jangan kita tertipu dengan pesona cinta yang dihiasi pelbagai janji dan sumpah setia. Jangan kita mabuk dengan rindu dan asyik yang membuai dan melenakan. Seteguk kita minum dari dari cinta terlarang, racunnya akan meresap membunuh akal, jiwa dan perasaan.Pada ketika itulah cinta dikatakan buta. Maka butalah mata hati dan mata kepala hingga seseorang akan menjadi hamba kepada siapa yang dicintainya, Ketika itu hati tidak nampak yang lain kecuali apa yang dicintai. Lupalah diri pada Pencipta cinta kerana terlalu asyik dengan cinta yang dikurniakan-Nya Bagaimanakah perasaan agaknya, jika seseorang begitu leka dengan hadiah hingga terlupa bersalam dan berterima kasih dengan pemberinya?

Pohon Cinta Terlarang

Allah kerap dipinggirkan dalam hubungan cinta yang terlarang.Hukum-Nya dilanggar bukan dengan rasa bersalah tetapi dengan rasa manis dan megah. Tangan kekasih dipegang walaupun jelas Allah mengharamkan sentuhan antara lelaki dan wanita yang bukan muhram.Tergamak berdua-duaan di tempat sunyi walaupun sudah diperingatkan Nabi bahawa dalam keadaaan begitu syaitan adalah pihak ketiga. Lebih dari itupun banyak yang berlaku. Semuanya seolah-olah halal hanya kerana cinta. Racun-racun berbisa yang memusnahkan cinta telah dianggap sebagai baja. Akhirnya pohon cinta terlarang pun berbuah. Buah yang pahit, masam dan memabukkan. Buah yang muncul dengan pelbagai jenama yang aneh dan menjijikkan -bohsia, bohjan, buang bayi dan zina. Ketika itu indahkah cinta?

Peraturan cinta bagi tanda-tanda dan lampu isyarat di atas jalan raya.Kereta diciptakan dengan kuasa untuk bergerak, tetapi pergerakannya perlu diatur dan dikawal. Jika tidak, dengan kuasa itu akan berlakulah perlanggaran dan pertembungan. Begitulah cinta, ia adalah kuasa tetapi kuasa itu perlukan peraturan dan kawalan.Apakah peraturan-peraturan dalam hubungan cinta? Hendaklah cinta kita berdasarkan kepada cinta Allah. Ertinya, cinta yang kita berikan kepadanya semata-mata kerana mengharapkan keredhaan Allah. Allah memberi kita fitrah itu lalu kita niatkan dengan fitrah itu boleh menghampirkan diri kepada-Nya. Cintailah sesiapapun, tetapi pastikan cinta itu dapat memudahkan kita mencintai Allah.

Sehubungan dgn itu, cinta antara lelaki dan perempuan mestilah diniatkan untuk Allah. Soalnya bagaimana? Iringilah dengan niat untuk berkahwin kerana berkahwin itu lebih memudahkan seorang lelaki dan perempuan menyempurnakan agamanya. Oleh itu, usahlah bercinta sekadar utk bersuka-suka. Lebih buruk lagi jgnlah ada niat-niat yg jahat dalam bercinta sama ada didorong oleh hasutan nafsu atau bujukan syaitan.Jika tidak ada niat utk berkahwin, cinta sudah pasti bukan kerana Allah. Hakikatnya cinta itu adalah cinta terlarang yg akan membawa kemusnahan. Cinta jenis ini seburuk namanya- Cinta Monyet!

Putus Cinta

Hendaklah dipastikan semasa menjalin hubungan cinta tidak ada hukum Allah yg dilanggar. Antaranya, tidak ada pergaulan bebas,tidak ada pendedahan aurat, tidak ada pengabaian perkara asas seperti meninggalkan sembahyang, puasa dan lain-lain. Hubungan cinta jgn sampai terjerumus dalam perkara yg melalaikan dan merugikan.Maka, remaja tidak senarusnya mengeluh , “Cinta apa namanya ini jika tidak ada dating, perbualan telefon maraton, surat cinta,sentuhan tangan, kerlingan dan senyuman?” Yakinlah, tidak ada keindahan dengan melanggar peraturan Allah. Putus cinta dan kecewa bercinta yg begitu dominan dalam kehidupan remaja adalah disebabkan racun-racun cinta yg disangka baja ini.Justeru banyaklah cinta yg gagal disambung di alam perkahwinan dan lebih banyak putus tanpa sempat menempuh perkahwinan.

Allah Maha Mengetahui dan Maha Menyayangi. Segala peraturan-Nya dibuat dgn rasa cinta terhadap hamba-hamba-Nya. Cinta suci mampu tumbuh tanpa semua itu. Dan cinta itu pasti akan membawa ke gerbang perkahwinan untuk bercinta lagi dengan seribu keindahannya. Bahkan jika diizinkan oleh takdir-Nya,cinta itu akan terus bersambung ke alam akhirat, suami yang soleh dan isteri yang solehah akan bercinta lagi di syurga. Ketika itulah fitrah akan menjadi anugerah.

:: Jaga Iman, Hiasi Amal ::

November 28, 2009 Posted by cahayamata87 | Renungan Bersama, Santapan Rohani | | No Comments Yet

Antara CINTA dan RASA..

Bismillahirrahmanirrahim…

Rasa bukan bermakna cinta. Ada ketikanya kita perlu rasional dengan diri kita sendiri. Apabila orang sudah nyata rasa menyampahnya pada kita, itulah waktunya untuk kita melangkah pergi. Kita boleh bertahan pada rasa kita, tetapi kita juga perlu sedar rasa dia pada kita. Setelah dia menyatakan betapa dia tidak memerlukan kita lagi dalam hidupnya, itulah masanya untuk melangkah pergi.

Anda boleh bertahan pada cinta agung, tetapi kecintaan agung tiada ertinya tanpa penyambut. Cinta agung itu bermaksud dua insan satu rasa. Anda mencintainya dan dia juga mencintai anda. Saling memerlukan, saling memahami, saling memberi dan menerima, saling mengucap kata-kata indah, saling mengerti dan saling rasa diperlukan. Itulah cinta. Tanpa detik-detik seperti ini ia bukanlah cinta.

Usah keliru dengan perhatian yang diberikan. Itu biasa. Cinta berbeza dan ia berkait soal hati. Apabila cinta telah berputik ia ada rasa yang sukar diungkap, sukar dimengerti dan sukar dikembalikan kepada asal dan ia bersambut. Jika tidak disambut ia bukan cinta tapi sekadar rasa.

Rasa dirasai oleh semua orang. Para peminat artis mempunyai satu rasa tapi bukanlah cinta. Maka itu, para peminat masih terkawal dan memuja dari jauh. Meskipun tanpa sambutan mereka tetap meminati. Berbeza dengan cinta, apabila tidak bersambut ia sangat menyakitkan. Dengan rasa maka terdetiklah rasa sayang antara seseorang dengan seseorang. Itu pun belumlah cinta namanya. Cinta adalah langkah terakhir dalam rentetan perasaan. Selagi belum mendapat maklum balas yang diistilahkan sebagai mukadimah cinta, usahlah menggunung cinta di hati, kelak anda kecewa melihat dia hanyalah rasa sedangkan anda telah cinta.

Kita boleh ada rasa pada sesiapa sahaja. Ia biasa pada semua orang. Jika anda seorang pelajar dan ada rasa pada guru atau pensyarah, itu biasa dan bukanlah salah. Anda boleh rasa pada perdana menteri, ia bukanlah pelik sebab kita memang mudah mempunyai rasa pada siapa-siapa yang kita kagumi. Anda perlu lakukan sesuatu untuk mengetahui apakah rasa yang anda rasa juga rasa yang dia rasa. Jika anda tiba-tiba berasa rindu lalu menghantar SMS, tidak lama kemudian anda mendapat balasan, itu mungkin menggambarkan ada rasa yang sama-sama berputik. Anda boleh terus menguji, tapi awas kadang-kadang anda akan teruji dan teruja.

Proses hingga cinta dapat disemai adalah satu proses yang panjang dan berliku. Kadang-kadang ia berduri dan tajam bagai sembilu. Sebelum satu-satu cinta dapat dinikmati bersama, anda akan berdepan dengan pelbagai cabaran. Memanglah, kadang-kadang sesuatu yang manis di hujungnya cukup pahit pada awalnya. Beruntunglah orang yang dapat membina cinta pada pandangan pertama. Mereka adalah orang yang sangat bertuah sebab cinta bukanlah suatu benda tapi perasaan penuh ilusi, tersembunyi di balik kata-kata, tindakan dan pendirian.

Jika anda mendapat cinta tanpa perlu bersusah-payah ketahuilah jambatan anda mungkin lurus dan pendek. Ada orang jambatan cintanya panjang dan berliku serta banyak lubang. Dia selalu terjerumus sebelum sampai ke penghujung. Jika anda ada rasa dan mahu ia berakhir sebagai cinta, maka, duga, uji, ramal dan buat persepsi hingga anda yakin rasa itu turut dimilikinya. Jika anda merasakan rasa itu turut ada di hatinya, maka terus pupuk hingga timbul sayang dan cinta. Jika anda ragu-ragu, kurang percaya dan sekali sekala teruja dan teruji, maka serahkan kepada TUHAN yang mampu mengubah hati.

Lakukan sembahyang hajat dan mohon ALLAH letakkan hati anda dalam hatinya. Niatkan untuk ke jinjang pelamin dan berdoalah selalu,

“Ya ALLAH, andainya dia baik untuk aku demi duniaku dan akhiratku, maka satukanlah kami dalam istilah cinta yang akan berakhir dalam perkahwinan, andainya dia tidak baik untuk aku demi duniaku dan akhiratku, maka pisahkanlah kami dalam istilah persahabatan dan persaudaraan Islam.”

Selamat bercinta untuk cemerlang bukan bercinta untuk temberang dan tembelang.

Oleh Dr. HM Tuah Iskandar Al-Haj

:: Tiada cinta seagung cinta Illahi.. Subhanallah… ::

November 23, 2009 Posted by cahayamata87 | Renungan Bersama | | No Comments Yet

Hantaran Al Quran Al-Kareem

“Sayang, tengok ni. Cantiknya Al-Quran ni. Warna keemasan. Sesuai untuk kita buat hantaran,” kata Jamilah kepada Nabil..

“Sini pun cantik juga. Warna ungu keemasan. Mana satu kita nak beli ni,” balas Nabil.

Mereka asyik mencari barang-barang untuk dibuat hantaran. Tinggal satu lagi yang masih dicari-cari iaitu Al-Quran yang juga bakal dijadikan hantaran perkahwinan mereka.

“Tapi, yang ni lagi best, ada terjemahan bahasa arab..,” keluh Jamilah.

“Ala, awak bukan reti pun bahasa arab,” jawab Nabil. Tergelak Jamilah, menyedari dirinya tidak memahami bahasa itu.

“Apa yang saudara cari tu. Nampak seronok saya lihat,” tegur pak cik berbaju putih. Senyumannya menampakkan lagi seri wajah seorang pak cik dalam lingkungan 40-an.

“Oh, kami cari Al-Quran. Nak buat hantaran. Maklumlah, nak bina masjid,” sengih Nabil. Jamilah ikut senyum tidak jauh dari situ..

“Oh. Bagus lah. Adik selalu baca waktu bila?” pak cik menyoal sambil tersenyum.

“Aa… aa.. lama dah saya tak baca, pak cik,” teragak-agak Nabil menjawab. Jamilah sudah berada di sebelah rak yang lain.

“Kalau gitu, tak perlu lah beli Al-Quran kalau sekadar hantaran. Kesian Al-Quran. Itu bukan kitab hiasan, dik,” tegur pak cik.

“Alah, pak cik ni. Kacau daun pulak urusan orang muda. Kami beli ni nak baca la,” tiba-tiba Jamilah muncul dengan jawapan selamba.

“Oh, baguslah. Kalau gitu beli lah tafsir ArRahman. Ada tafsiran lagi,” cadang pak cik. Mukanya nampak seperti ahli masjid.

“Ala , besar lah pak cik. Kami nak pilih ni. Kiut lagi,” senyum Jamilah mengangkat bungkusan Al-Quran warna ungu keemasan. Saiznya kecil.

“Jangan lupa baca ya,” pesan pak cik sambil berlalu meninggalkan pasangan tersebut.

“Sibuk je la pak cik tu,” Jamilah mengomel.

Nabil kelihatan serba salah. Mungkin terpukul dengan kata-kata seorang pak cik yang muncul secara tiba-tiba.

Hari yang dinantikan sudah tiba. Mereka sudah bersolek. Hari nan indah.. Terlalu indah buat pasangan teruna dan dara yang bakal disatukan.. Nabil dan Jamilah tidak sabar-sabar menantikan saat ijab dan kabul yang pastinya sangat bermakna bagi mereka..

“Assalamualaikum semua,” ucapan salam Pak Imam yang baru sahaja tiba, bergema.

Nabil bagai hidup semula. Dirinya terkejut. Jantung bagai gugur serta merta. Mungkin tidak percaya apa yang dipandangnya dihadapan. Ahli-ahli keluarga berebut-rebut bersalaman dengan Pak Imam. Mukanya berseri-seri. Janggutnya putih. Jubah putih. Rambutnya ada yang berwarna putih.

“Inikah pengantin hari ini?” tegur imam yang dikenali sebagai Ustaz Saad.

“Pak.. Ustaz.. kabar baik, pak… us.. ustazz..” jawab Nabil menggigil. Jamilah juga terkebil-kebil melihat kelibat orang yang dikenali di kedai buku dua bulan lalu.

“Sebelum kita teruskan acara kita, saya ingin mendengar bacaan ayat suci Al-Quran daripada adik Nabil. Mudah-mudahan kita dapat mengambil manfaat dari bacaan pengantin,” cadang Ustaz Saad. Kelihatan orang ramai mengiyakan. Maklumlah, Ustaz Saad merupakan antara orang yang dihormati di tempat mereka.

Nabil menelan air liur. Baginya inilah saat paling menyeramkan bagi dirinya… Peluh membasahi baju melayu satin berwarna putih yang tersarung di tubuhnya.

“Ss.. su.. surah apa ustaz?” Nabil cuba menggagahkan diri. Jamilah masih melihat di balik tirai. Memegang kepalanya. Seperti mengagak benda yang sebaliknya berlaku..

“Oh, ayat yang mudah ja. Baca 3 ayat Surah Ar-Ra’d,” kata Ustaz Saad sambil tersenyum, menunjukkan baris giginya yang putih bersih.

“Surah Ar-Ra’d? Macam mana ni?” detik hati Nabil.

“Bismillahirrahmaanirrahim.. Al.. Maa.. Riii..” berlagu Nabil memperdengarkan bacaannya.

Kedengaran gemuruh satu rumah pengantin perempuan. Ada yang keluar dari rumah menahan gelak. Ada yang mengeluarkan air mata menahan kelucuan. Ada yang menggeleng-geleng kepala. Ibu bapa Jamilah merah padam wajahnya. Jamilah entah ke mana, mungkin berpura-pura ke tandas.

“Baru ustaz tahu ada kalimah almari di dalam Al-Quran. Adik Nabil, cara bacanya seperti begini : A’uzubillahiminnassyaitaanirrajim… Bismillahirrahmanirrahim.. Alif.. Lamm.. Mimm… Raa..” kedengaran suara gemersik Ustaz Sa’ad. Orang ramai kelihatan ingin mendengar lebih banyak lagi alunan irama Al-Quran daripadanya.

Nabil berasa seperti kilat menyambar kepalanya..

“Nabil, kamu jangan merendah-rendahkan kitab petunjuk iaitu AlQuran. Ianya hendaklah dibaca bukan sekadar dijadikan hantaran. Malah lebih malang perlakuan seperti ini seolah-olah menghina Al-Quran. Beli Al-Quran kemudian menaruh di tempat-tempat tinggi seolah-olah ianya sudah cukup bagi seorang muslim,” tazkirah sudah bermula. Orang ramai memang menyenangi cara penyampaian ustaz Sa’ad.

“Tinggi mana pun kamu belajar, tiada gunanya jika kitab yang tidak berubah ini tidak mampu kamu baca. Kitab ini pasti begini rupanya, ayatnya tetap sama, kedudukannya tidak sama. Malah, ketahuilah Allah akan menjaganya sehingga hari kiamat. Nabil, kalau kamu tahu orang-orang yang mengaku kitab Al-Quran sebagai kitab petunjuk kemudian diabaikan dia pasti dilaknat oleh Al-Quran itu sendiri. Tetapi beruntungnya orang-orangnya memanfaatkan AlQuran setiap hari, membacanya, menghafalnya, mengamalkan menjadikan hati terlalu tenang walapun dia bukannya seorang yang tinggi pelajarannya, kaya hidupnya dan sebagainya.., ” penutup Ustaz Sa’ad dikagumi orang terutama yang biasa mengikuti ceramahnya.

Hari semakin cepat berlalu…

Nabil sudah melalui hari-hari yang indah. Kitab Al-Quran yang menjadi hantaran pertunangan sudah menjadi diari kehidupannya yang aktif setiap hari.

Tit.. Tit!!
Jangan lupa datang rumah ustaz malam ni.
Kita belajar sama-sama.
Jangan lupa bawa isteri sekali ya Nabil.

SMS dari ustaz Sa’ad tiba. Jamilah tersenyum bahagia di sisi suaminya, Nabil.. Terasa hidup mereka begitu bermakna dan tenang bila bertemankan Al-Quran..

 

Renungan…

Rasulullah (Sallallahu alaihi wasallam) bersabda : Bila seseorang lelaki itu mati dan saudaranya sibuk dengan pengebumiannya, berdiri lelaki yang betul-betul kacak di bahagian kepalanya. Bila mayatnya dikapan, lelaki itu berada di antara kain kapan dan si mati.

Selepas pengebumian, semua orang pulang ke rumah, 2 malaikat Mungkar dan Nakir, datang dalam kubur dan cuba memisahkan lelaki kacak ini supaya mereka boleh menyoal lelaki yang telah meninggal itu seorang diri mengenai ketaatannya kepada Allah. Tapi lelaki kacak itu berkata, “Dia adalah temanku, dia adalah kawanku. Aku takkan meninggalkannya seorang diri walau apa pun. Jika kamu ditetapkan untuk menyoal, lakukanlah tugasmu.. Aku tidak boleh meninggalkannya sehingga aku dapati dia dimasukkan ke dalam Syurga.”

Selepas itu dia berpaling pada temannya yang meninggal dan berkata, “Aku adalah Al-Quran, yang mana kamu membacanya, kadang-kadang dengan suara yang nyaring dan kadang-kadang dengan suara yang perlahan. Jangan bimbang. Selepas soal siasat dari Mungkar dan Nakir, kamu tidak akan bersedih.”

Selepas soal siasat selesai, lelaki kacak mengatur untuknya daripada Al-Mala’ul A’laa (malaikat dalam Syurga) tempat tidur dari sutera yang dipenuhi bau haruman kasturi.

Rasulullah (Sallallahu alaihi wasallam) bersabda : “Di hari pengadilan, di hadapan Allah, tiada syafaat yang lebih baik darjatnya daripada Quran, mahupun dari nabi atau malaikat..”

“Sampaikan pesanku walaupun hanya satu ayat..”

:: Hmm.. nice story (^_^) ::

November 2, 2009 Posted by cahayamata87 | Renungan Bersama | | No Comments Yet

Malu..

Bismillahirrahmanirrahim…

Aduhai, setiap wanita dikurniakan oleh
ALLAH swt sifat MALU
Kerana MALU si wanita tahu menjaga
kehormatannya
Kerana MALU si wanita tahu menilai
batas- batas sosialnya
Kerana MALU juga si wanita gagal
diperdaya pujukan nafsu

Kini si wanita itu sudah hilang MALUnya
Kerana hilang MALU itu terdedahlah
auratnya lantas kehormatan diri tergadai
Kerana hilangnya MALU itu si wanita
gagal menilai apa itu HARAM apa itu HALAL
Kerana kehilangan MALU itu si wanita
lemas dan hanyut dengan tipu daya nafsu.

Aduhai, setiap lelaki juga dikurnakan
oleh ALLAH swt sifat MALU
Kerana MALU, si lelaki nasihat diri dan
si wanita agar bersama-sama jaga maruah
diri dan MENJAGA AURAT
Kerana MALU, si lelaki mengingatkan diri
dan si wanita tentang batas-batas sosial
pergaulan, HALAL dan HARAM tu kena INGAT!
Kerana MALU itu, si lelaki menjaga dan
mendidik nafsunya. JANGAN mengajak si
wanita berbuat DOSA. Selalu mengingatkan
dengan kata “TAKUTLAH AKAN ALLAH !”

Kini, si lelaki itu sudah hilang MALUnya
Kerana hilang MALU itu si lelaki
MENGAJAK si wanita BERBUAT MUNGKAR
Kerana hilangnya MALU itu si lelaki lupa
tentang HUKUM ALLAH swt
Kerana telah hilangnya MALU itu si
lelaki mungkin hilang taraf KHALIFAH!

Sabda Rasullullah saw, SESUNGGUHNYA MALU
ITU ADALAH SEBAHAGIAN DARI IMAN.
Wahai si wanita dan si lelaki janganlah
menzalimi diri dengan meletakkan MALU
itu bukan ditempatnya.

MALUlah kamu dengan ALLAH swt kerana
ingkar akan suruhannya
MALUlah kamu dengan RASULLULLAH saw
kerana meninggalkan sunahnya
MALUlah kamu kerana lupa dan malas
membaca AL-QURAN
MALUlah kamu kerana tidak menghormati GURU
MALUlah kamu kerana melawan kata IBUBAPA.
MALUlah kamu atas DOSA-DOSA kamu

Maka percayalah bahawa MALU itu akan
menyelamatkan kita dari fahsyar wal
mungkar!!!


:: “In nasolatatanha anil fahsyaar iwal munkar”Maksudnya: Sesungguhnya solat tu dapat mencegah kita dari melakukan perbuatan keji dan mungkar. Wallahua’alam bissawab.. ::

October 17, 2009 Posted by cahayamata87 | Lakaran Tinta, Renungan Bersama | | No Comments Yet

Hati..

Bismillahirrahmanirrahim…

Bila hati diserah kepada Allah,

Tiada resah tiada gelisah,

Bila apa yang diburu hanyalah demi mardhotillah,

Hilang rasa gundah hidup rasa indah…

Bila benih cinta disemai dahulu pada Yang Esa,

Barulah akan menyusul cinta tulus sesama hamba…

Pergilah duka,

Hapuslah kecewa..

Kerana bahagia InsyaAllah akan tiba,

Di dunia ini dan di akhirat sana,

Dengan syarat Iman dan Taqwa,

Kukuh disemai dan tersemat di jiwa,

Amal soleh bukti setia,

Seorang hamba kepada Rabbnya…

October 17, 2009 Posted by cahayamata87 | Lakaran Tinta | | No Comments Yet

Ku Serah Cinta..

Bismillah..

Ku serah segala ketentuan

Biarlah masa yang berbicara

Dipangku wajah yang layu

Dan aku telah jemu

Aku tidak mahu berpaling

Pada yang mengganggu dan menggugat

Sapanya meletihkan diri

Hadirnya mengundang penat

Akan ku serah cinta ini

Bukan lagi pada manusia

Kerana cinta martabat itu

Bersalut segunung kepalsuan

Dan kepuraan

Aku semakin tidak peduli

Apa yang mungkin akan terjadi

Kerana gerak dan tindakanku

Mahu bebas dari masalah

Ku serahkan cinta ini

Hanya padaMu, oh Tuhan

Akan ku serah cinta ini

Bukan lagi pada manusia

Kerana cinta martabat itu

Bersalut segunung kepalsuan

Dan kepuraan

Aku adalah aku sekarang

Biar terbuang tetap berjuang

Akan ku serahkan jiwa ini

Sepenuh hati dengan keikhlasan

Aku adalah aku yang sekarang

Ku serahkan cinta ini..

:: … Sangat suka dengar lagu ni… ::

September 30, 2009 Posted by cahayamata87 | Santapan Rohani | | No Comments Yet

Menanti sebuah jawapan..

Bismillahirrahmanirrahim…

Mata tak terpejam kala malam semakin kelam.. terasa seperti berada di awangan, minda penuh dengan persoalan yang tak terjawab.. masih merungkai misteri yang tiba2 hadir dalam hidup ini tanpa diundang.. kenapa dan mengapa, apa agaknya yg sudah berlaku.. persoalan yg datang silih berganti dlm fikiran ini..

Buntu.. masih tiada jawapan.. pada siapa lagi harus ku bertanya jika tiada sebarang jawapan ku terima dpd yang sewajarnya merungkai misteri itu.. senyap.. sunyi.. dan aku masih harus menghitung hari2 yg berlalu tnpa penamat yg pasti.. tiap saat berlalu dengan senyuman paksa.. dan aku perlu berpura2 ceria, agar tak siapa tahu duka yang terpendam di lubuk hati.. keluarga? takkan ku biarkan mereka tahu sedih dan hiba di hati ini..

Fikiran sentiasa menerawang mencari jawapan.. di mana letaknya jawapan itu..???

Mutiara jernih.. kerap kali jatuh berderai tiap kali aku cuba berfikir sedalam2nya tentang perkara yang sedang aku lalui.. tapi terseka tatkla mendengar ada tapak kaki yang cuba mendekati.. dan akhirnya aku menang lagi.. menang dalam menipu mata yang melihat senyuman palsuku..

“Ukhuwah fillah abadan abada”.. lafaz yang sering diungkap sebagai ikrar persahabatan.. namun adakah maknanya dihayati sepenuh jiwa? selalu aku dengar.. “sekali kita berkawan, selamanya kita tetap kawan..” tapi hakikatnya banyak hati yang telah hancur akibat tegarnya hati manusia mengingkari dan mengkhianati erti persahabatan.. dan aku tidak mahu membiarkan diri menjadi salah seorang daripada pengkhianat itu..

Mungkinkah itu titik noktah bagi sebuah ikatan? Ya Muhaimin.. mohon dijauhkan.. tapi mengapa aku yang dipilih utk merasai kesedihan ini buat ke sekian kali? Ya Rabbi.. andai Kau perkenan, berikan aku jawapan bagi setiap persoalan yang masih bermain di minda..

Dan tiba2.. otak yang ligat berputar terhenti seketika, memaksa aku menamatkan coretan ini di sini.. apa lagi yang mampu aku lakukan selain bersabar menanti jawapan.. yang terpendam tak terluah sedangkan hati terus berbicara.. bicara kalbu..

Ya Allah.. tunjukkan aku jalan keredhaanMu..

Innallaha ma’ana.. Ma fi qalbi ghairullah..

Wassalam..

September 30, 2009 Posted by cahayamata87 | Lakaran Tinta | | No Comments Yet

Untukmu Wanita..

Bismillahirrahmanirrahim…

Tajuk: Lelaki bagaimanakah yang anda mahukan
.. Oleh: DR. HM TUAH ISKANDAR al-Haj

Memilih lelaki untuk dijadikan pasangan hidup bukan semudah memilih baju untuk hadir majlis hari jadi. Jika baju, tak suka yang itu, pilih saja yang ini. Kalau warnanya seperti tidak match, pilih saja warna yang lain. Bagaimana hendak mengenal lelaki yang sesuai, baik dan serasi?

Persoalan ini memang patut menghantui setiap orang sebab tersalah pilih, hidup akan menjadi amat tidak selesa. Macam-macam perkara boleh ditimbulkan oleh sang lelaki, tatkala dia sudah pun bergelar suami. Tidak semudah menukar baju jika ingin lari darinya. Malah dia bagaikan baju plastik yang melekat di badan. Jika anda mendapat lelaki yang okey segala segi, anda sangat beruntung. Hidup anda akan terpenuh dengan keindahan dan kenikmatan.

Tetapi jika anda mendapat lelaki yang tidak okey segala segi, ibarat anda telah menghampiri ‘neraka dunia’. Apa kriteria yang boleh anda pegang apabila memilih lelaki:

1. Bagaimana agamanya

Jika dia nyata mengabaikan kewajibannya sebagai manusia yang beragama, (terutama sembahyang fardu), usahlah harapkan sesuatu yang menarik daripadanya. Mungkin dia kaya dan penyayang serta boleh memberikan semuanya, tetapi tanpa haluan menuju ketuhanan, dia bukanlah pilihan terbaik. Betul, bukan semua lelaki yang sembahyang itu baik, tetapi sekurang-kurangnya haluan pimpinannya jelas. Agama diturunkan untuk memantau kehidupan manusia, maka manusia perlu menerima pantauan itu untuk selamat. Dalam soal ini tiada siapa terkecuali.

2. Bagaimana dia melayani ibu bapanya

Seorang lelaki yang bertanggungjawab adalah seorang yang tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya terhadap ibu dan bapanya. Anda boleh lihat dengan jelas akan hal ini. Jika dia menangguhkan pulang ke kampung semata-mata untuk anda, dia bukanlah seorang family man, lantas bukanlah calon terbaik untuk menepati ciri-ciri lelaki pilihan. Seorang lelaki yang mengambil berat ibu dan ayahnya adalah seorang yang boleh diharap.

3. Bagaimana dia berkelakuan sewaktu bersama anda

Jika dia demand beberapa hal yang tidak munasabah dan ‘tidak boleh’ sebelum masanya, dia bukanlah lelaki yang terbaik. Cinta tidak perlu dibuktikan dengan perlakuan-perlakuan sumbang yang membawa kemurkaan TUHAN. Ramai wanita silap dalam menafsirkan pengorbanan cinta. Berkorbanlah untuk mendapatkan cinta yang sejati, tetapi tidak usah hingga terkorban diri.

Ingat, wanita ibarat rama-rama, selagi warna sayapnya tidak terurai, selagi itulah dia diminati dan disayangi.

4. Bagaimana keluarga melayaninya

Jika boleh dapatkanlah latarbelakang keluarganya. Keluarga yang rosak dan porak peranda biasanya terdiri daripada ahli yang rosak dan juga porak peranda. Perhati juga bagaimana keluarga melayaninya. Jika keluarga baik terhadapnya, itu menandakan dia baik terhadap keluarga.

5. Siapa sahabatnya

Untuk mengenali dia lihatlah siapa sahabatnya. Sahabatnya adalah cermin untuk dirinya. Jika sahabat-sahabatnya adalah mereka yang baik budi pekerti serta boleh diharap, dia mungkin juga sama. Sebaliknya jika dia hanya bergaul dengan orang yang rosak akhlak, dia juga mungkin tidak terkecuali.

6. Apakah kegiatan hidupnya

Lantaran jika dialah pilihan anda dan putus untuk mengakhiri hubungan itu dengan perkahwinan, usah ambil mudah tentang aktiviti hidupnya, maksud saya pekerjaan serta kegemaran serta wawasannya. Ini penting sekali sebab corak kehidupan akan ditentukan oleh apa kegiatan hidupnya serta apa kegemarannya juga apa wawasannya.

Pastikan dia mempunyai pekerjaan, tidak semestinya makan gaji, perniagaan juga baik. Pertanian, perladangan, penternakan dan juga perikanan juga baik. Semua itu bidang pekerjaan yang mulia. Ramai orang tidak kisah dengan bidang pekerjaan teman lelakinya sewaktu di alam percintaan, kemudian menanggung derita setelah berkahwin apabila mengetahui sebenarnya dia tiada pekerjaan, pemalas bahkan penagih dadah. Sukailah dia dan sukailah pekerjaannya, selagi halal, adalah mulia di sisi ALLAH.

7. Lihatlah diri anda sendiri

Lihatlah diri anda sendiri. Bagaimana lelaki yang anda inginkan begitulah diri anda sebenarnya. Jika anda memiliki akhlak yang baik, dia semestinya juga begitu. Jarang orang yang tidak sama peribadi boleh menjalin hubungan intim dan penuh persefahaman..

fikir2kanlah.. Wallahu’alam..

September 28, 2009 Posted by cahayamata87 | Renungan Bersama | | No Comments Yet

Catatan Tengah Malam..

Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamu’alaikum wbt..

Huhu.. akhirnya dapat gak peluang utk saya menaip sepatah dua kata di sini setelah sekian lama menyepi.. berada di rumah, bukan mudah utk memperoleh peluang sebegini memandangkan banyak pasang mata yang memerhati, sehingga terasa begitu sukar untuk saya meluahkan apa yg sy inginkan..

Selepas bergelar graduan pada bulan lepas, sy masih x memiliki sebarang pekerjaan selain menjadi suri rumah berijazah.. hehe.. terasa kebosanan itu semakin meluap-luap dari hari ke hari.. hidup terasa sunyi tanpa bebanan assignment seperti tahun2 yg semakin berlalu.. handset? semakin hari semakin sunyi.. mungkinkah itu petanda jauh di mata, maka jauh juga di hati? entahla..

Ada sesuatu yg ingin saya kongsikan.. baru2 ini, teman lama datang mengganggu saya kembali selepas peristiwa2 sedih yang dicipta olehnya ditinggalkan utk saya hadapi sendirian.. terasa betapa kejamnya dia, sanggup menjadikan saya mangsa keadaan dan mangsa makin hamun. dan apabila segalanya pulih dan dia menerima akibat perbuatannya, dia dtg menagih ssuatu yg x mgkin sy beri.. apa? fikirlah sendiri..

Ibarat tanduk mula tumbuh di kepala, fikiran nakal saya tba2 terfikir sesuatu.. tp saya x tegar melakukannya.. lantas saya mengubah fikiran dan rancangan.. saya biarkan dia tenggelam dlm pelbagai persoalan dan akhirnya tanpa sedar.. yeah!! akhirnya sy berjaya membongkar rahsia yg realitinya amat mengejutkan.. Hmm.. apa tindakan sy selanjutnya? Hanya Tuhan Yang Tahu.. sy yakin.. dia tidak akan kembali dlm hdup sy.. biarlah peristiwa lalu itu tenggelam dalam lipatan memori.. tiada dendam dan benci. full stop!

Dalam sy bergembira atas kejayaan itu, terselit duka di sebalik senyuman pabila memikirkan sikap seorang sahabat yang berubah sejak akhir2 ini.. masalah apa yg membelenggu dia agaknya? atau ada sesuatu yang membuat dia jauh hati dgn sy? puas sy mencari apakan slh yg telah sy lakukan sehingga dia tba2 bersikap dmikian.. mungkinkah sy telah melakukan kslhn tnpa sedar? maafkan sy, shbt.. andai ada khilaf yang telah mengguris prasaan kamu.. gelisah mengenangkan.. hanya doa dan airmata menjadi teman.. walau apapun yg berlaku, sy sntiasa mendoakn agar dia tenang dan bhgia dgn limpahan kasih dan rahmat Allah swt..

Teman2 sjati sy.. are, ina, ajah, rin.. apa agaknya yg sdg kalian lakukan skrg? berborak dgn ina dan are di hujung talian td sedikit sebanyak mengubat kerinduan dan kegusaran di hati sy.. terima kasih  shbt2ku. tanpa kalian, umpama tiada warna dlm jalinan persahabatn yg kita bina sepanjang 3 tahun lbih ini..

Tak terlakar seluruh coretan minda.. kerana hanya hati yang mampu berbicara.. hrpn sy, moga hidup ini lebih bermakna selepas ini.. perjuangan ini mesti diteruskan, walau apapun dugaan dan kedukaan yg dtg.. Ya Allah, rahmati kami dan sinarilah hidup kami dgn cahaya keimanan dan ketaqwaan..

Ain..

apapun yang terjadi.. berjalanlah tanpa henti..

(memetik lirik lagu siti nurhaliza.. melawan kesepian…)

Ok.. jam dah berbunyi.. tepat jam 12am.. elok la sy berhenti di sini, sebelum kena bebel dgn ayahanda dan ibunda tercinta.. baikkk.. ma’assalamah wa ilalliqa’.. tata…

wassalam..

” LA TAHZAN “

September 28, 2009 Posted by cahayamata87 | Cerita Hati | | No Comments Yet

KeranaMu..

Bismillahirrahmanirrahim..

Perhubungan sesama manusia mempunyai pelbagai nama dan gelaran. Adik-beradik, ibubapa dan anak, persahabatan dan di antara suami dan isteri. Namun sejauh manakah perhubungan itu mampu bertahan lama mengharungi arus cabaran yang tidak dapat diduga?

Di antara insan yang kita kenali sejak kecil, berapa ramaikah yang masih berhubungan dengan kita? Berapa ramai yang kita kenali dahulu telah pun berpisah…ada di antaranya yang tidak akan kembali lagi, telah pun menyahut seruan Illahi.

Matlamat kita di dunia ini bukanlah untuk mengumpulkan sebanyak mungkin bentuk kemewahan untuk kepentingan diri sendiri. Bukan juga untuk mencapai tahap tertinggi dalam kerjaya pilihan kita. Bukan juga untuk mengembara ke serata tempat di dunia untuk melihat-lihat pelbagai keunikan dan kecanggihan tamadun manusia.

Matlamat yang sebenar…ialah untuk mengisi masa yang terhad di dunia ini untuk mencari keredhaan Illahi. Syurga dijanjikan untuk orang yang beriman dan neraka buat golongan yang mensia-siakan kehidupannya di dunia ini. Sesungguhnya hidup dan mati kita adalah kerana Allah Taala sepertimana yang kita seringkali lafazkan di dalam doa iftitah tiap kali solat.

Perhubungan yang didasari dengan tujuan untuk mencari keredhaan Illahi adalah bentuk perhubungan yang paling bermakna. Bayangkan kita mempunyai seseorang yang mampu memperingatkan kita terhadap Allah SWT tiap kali kita alpa. Seseorang yang mampu membawa kita untuk mencapai matlamat kehidupan yang sebenarnya. Dan andainya kita ditakdirkan berpisah, kita tidak akan dilanda gelora kesedihan sepertimana bentuk perhubungan yang lain. Andainya perhubungan kita itu benar-benar kerana Allah SWT, kita pasti akan bertemu semula, samada di dunia atau di akhirat kelak. Yang pasti, perpisahan itu hanyalah sementara.

Alangkah indah andainya kita mempunyai seseorang seperti itu. Seorang sahabat, adik mahu pun abang, atau ibu bapa yang akan membawa kita ke arah keredhaan Illahi. Setiap kali kita lalai, kita akan diperingatkan dan dinasihati. Setiap kali kita bertemu dengan dia, terpancar nur iman dan insya-Allah, iman kita akan meningkat. Iman tidak akan sentiasa tinggi dan kita tidak akan sentiasa dekat dengan Illahi. Hanya peringatan dari seorang yang dekat mampu membawa kita ke arah jalan yang sebenar. Dan andainya kita ditakdirkan berpisah, perpisahan itu hanyalah sementara. Bertemu dan berpisah kerana Allah….

Namun di sebalik keinginan untuk memperolehi bentuk perhubungan sedemikian,(yang pasti akan diberkati Allah SWT)……renungkanlah persoalan ini….Berapa ramai yang kita kenali setakat ini dan berapa ramai di antaranya yang kita telah peringatkan akan matlamat mencari keredhaan Illahi? Mampukah kita menjadi seorang sahabat mahu pun adik atau abang, yang seringkali menasihati dan memperingatkan orang di sekelilingnya tentang Allah SWT?

Bertemu dan berpisahlah kerana Allah Subhanahu Wa Taala…

Sumber: http://hafiz238.blogspot.com/

August 15, 2009 Posted by cahayamata87 | Renungan Bersama | | No Comments Yet